Monday, December 19, 2011

Latihan HORNBILL TLDB dan TLDM 21/2011

19 Desember 2011

KD Kedah dan KD Ganas (photo : Brunei Mindef)

Muara, Isnin - Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memulakan latihan laut dua hala, Latihan HORNBILL siri 21/2011 bermula pada 19 Disember hingga 23 Disember 2011. Upacara Pembukaan Rasmi latihan telah berlangsung pada hari Isnin, 19 Disember 2011 bertempat di Markas Tentera Laut Diraja Brunei dan dirasmikan oleh Yang Mulia Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Hj Abdul Halim bin Hj Mohd Hanifah, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei. Turut menghadiri upacara tersebut ialah Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Anuwi bin Hassan, Panglima Wilayah Laut II, TLDM.

Latihan HORNBILL tahun ini dikendalikan oleh TLDB di mana latihan ini bermula di Negara Brunei Darussalam dan akan berakhir di Kota Kinabalu Sabah, Malaysia. Latihan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diplomatik diantara kedua-dua tentera laut serta mempertingkatkan kerjasama melalui kefahaman dari segi doktrin operasi, prosedur dalam evolusi laut dan peperangan maritim. Sebanyak empat buah kapal terlibat dalam latihan ini yangmana dua buah daripadanya dari Tentera Laut Diraja Brunei, KDB IJHTIHAD dan KDB AFIAT dan dua buah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia KD KEDAH dan KD GANAS. Manakala jumlah pegawai dan krew yang terlibat ialah seramai 200 orang.

KDB Ijhtihad (photo : mdc.idv)

Latihan ini diketuai oleh Ketua Delegasi Leftenan Kolonel (L) Abang Abas bin Abang Haji Omarzuki, Pegawai Pemerintah Latihan TLDB dan dibantu oleh Komander Abd Rahman bin Md Saat. Upacara penutup latihan akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Anuwi bin Hassan, Panglima Wilayah Laut II, TLDM pada 23 Disember 2011 bertempat di Kota Kinabalu Sabah Malaysia.

No comments:

Post a Comment